tweet tweet

Tuesday 24 January 2012

Najib tepung tawar Van Skuad Sayang Wanita UMNO Kelantan


KOTA BAHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang yang akan digunakan Pergerakan Wanita UMNO dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kelantan.

Majlis ringkas berkenaan berlangsung di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, selepas ketibaan Perdana Menteri pada jam 11.50 pagi ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Wanita UMNO Kelantan, Datin Halimah Mahamad.

Terdahulu, Najib yang juga Presiden UMNO, mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri Kelantan, selama kira-kira sejam.

Perdana Menteri kemudiannya menghadiri majlis menyambut menantu yang diadakan Setiausaha Politiknya, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh di kediaman Mohd Fatmi di Jalan Hospital di sini.

Sementara itu, Halimah berkata, van Skuad Sayang itu akan digunakan 14 bahagian UMNO di negeri ini manakala sebuah lagi akan digunakan Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Beliau berkata, kemudahan itu akan dapat melancarkan lagi kegiatan Pergerakan Wanita UMNO Kelantan dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh negeri.
"Sebelum ini, Wanita UMNO menggunakan kenderaan sendiri termasuk untuk masuk ke kampung bagi mendekati rakyat dan membantu meringankan beban mereka," katanya.

Beliau berharap dengan adanya van berkenaan, ahli pergerakan itu akan lebih gigih lagi mendekati dan memberi bantuan kepada rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment