tweet tweet

Saturday 21 January 2012

Impak Demonstrasi Mahasiswa


Usia masih mentah dan tiada pengalaman hidup, namun segelintir mahasiswa sanggup menggadai masa depan dan pengajian belum tamat semata-mata terlalu taksub mengikut kata hati.

Mengetepikan akal waras dan matang untuk membuat pertimbangan, mereka lantang bersuara menyatakan hasrat melakukan perubahan biarpun hakikatnya ia tidak semudah memetik jari.


Lebih berani, mereka cuba bermain api dengan membuat tuntutan tidak masuk akal sehingga memberi persepsi negatif, apakah golongan itu mudah diperguna atau dipengaruhi orang lain?

Apakah perjuangan dan perubahan dikehendaki itu lebih penting daripada melunaskan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar?

Apakah selama ini institusi terlalu tegas dan langsung tidak berkompromi hingga golongan terbabit perlu melanggar undang-undang?

Atau adakah mereka hanya mengikut membuta tuli dan sanggup bertindak agresif kerana berasakan diri cukup hebat bergelar mahasiswa?

Presiden Kolej Poly-tech Mara, Datuk Yusoff Harun, berkata mahasiswa perlu menjadi golongan yang boleh dibanggakan dengan kecemerlangan dan kematangannya bukan yang mudah diperkotak-katik sesuka hati pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

Menurutnya, amat malang dan memalukan apabila mereka bertindak melampau dan di luar batasan kerana bukan saja boleh digambarkan sebagai golongan cetek akal malah senang dimanipulasi.

“Mahasiswa adalah golongan terpilih dan perlu mempunyai prinsip yang tidak boleh digugat orang lain hanya dengan isu remeh.

“Mereka ada karisma tersendiri dan masyarakat juga memberi sanjungan dan pengiktirafan. Malangnya, itu tidak berlaku pada segelintir mahasiswa yang berasakan diri hebat dan tidak boleh dicabar.

“Hakikatnya, mereka masih teraba-raba mencari masa depan. Atas maksud tertentu, mereka berjuang dengan alasan mahu membuat perubahan sedangkan perjuangan perlu berpaksikan pada tujuan asal dan jangan dicampur-aduk dengan perkara lain,” katanya.

Akhir-akhir ini negara terkejut dengan aksi demokrasi liar segelintir mahasiswa yang ‘memberontak’ inginkan hak kebebasan biarpun permintaan itu tidak munasabah.

Mereka mengandaikan diri tertindas dan menjadi mangsa birokrasi selain mengutarakan kemahuan diberi lebih kebebasan akademik.

Persoalannya, kebebasan akademik bagaimanakah yang diingini hingga sanggup berdemonstrasi, mengganggu ketenteraman awam dan mencemarkan nama golongan intelektual.

Sekali gus memberi persepsi tidak baik dengan tanggapan mereka golongan ekstremis yang mahu menggugat keamanan negara selain begitu mudah melatah biarpun hanya dijolok dengan isu remeh.

Mengulas tindakan itu, beliau menggambarkannya sebagai satu ‘drama’ yang harus ditamatkan segera kerana bakal merugikan masa depan mahasiswa.

“Sejak dulu, mahasiswa memegang gelaran ‘mereka yang dihormati’, mengapa mesti mencalarkan identiti itu dengan perjuangan belum pasti? Buka minda dan berfikir dengan matang setiap masalah ada penyelesaiannya.

“Setiap perbuatan perlu selari dengan taraf pendidikan, daya intelektual, penerimaan masyarakat dan sebagainya. Tindakan melulu bukan saja merugikan malah menyebabkan masalah baru timbul hingga membabitkan isu lain.

“Janganlah kerana terlalu mengikut kata hati, segalanya tergadai dan menjadi sia-sia. Perjuangan menuntut ilmu itu lebih penting dengan imej mahasiswa berbanding tindakan radikal,” katanya mengakui antara punca golongan itu bertindak agresif kerana kurang mendapat fakta jelas mengenai sesuatu perkara atau diprovokasi pihak lain.

“Secara amnya, mahasiswa biasa dan tiada kepentingan tidak akan bertindak sedemikian. Mungkin mereka yang mudah ‘melatah’ ini ada faktor di sebaliknya hingga berani melanggar undang-undang.

“Pihak pengurusan institusi perlu memberi penjelasan jelas, mudah dan telus kepada mereka supaya dapat gambaran jelas.

“Dalam usia muda, mereka gemar bertindak mengikut emosi berbanding rasional akal,” katanya.

Agresif mahasiswa, akuinya juga adalah sifat semula jadi terutama jika permintaan mereka ditolak atau diperlekehkan namun bukan semua mahu menggadaikan masa depan hanya kerana mengikut emosi.

“Hanya segelintir saja yang beremosi dan mahu menunjukkan diri mereka hebat sedangkan sebahagian besarnya masih berfikir waras.

“Bayangkan, jika mempunyai senarai ‘rekod’ yang tidak elok, apakah masyarakat, industri atau majikan mahu menerima mereka?

“Justeru sebelum bertindak, berfikir panjang, jangan mudah terpengaruh atau mengikut darah muda kerana belum tentu perjuangan itu berhasil,” katanya.

Ditanya adakah kebangkitan itu juga disebabkan peristiwa yang melanda beberapa negara di dunia, beliau berkata, mahasiswa di negara ini tidak boleh disamakan dengan negara luar.

“Perjuangan di sana lebih tertumpu pada kehendak perubahan drastik atas faktor tertentu namun di negara ini keadaannya berbeza.

“Jika berpandangan jauh, mereka akan mengelak diri terbabit aktiviti ini kerana ia merugikan. Paling penting, selesaikan pengajian dulu sebelum membabitkan diri dalam aktiviti bersifat peribadi.

“Keseronokan atau kehebatan sementara tidak boleh menjamin kesenangan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, mereka hanya berdiri atas identiti mahasiswa dan tidak diperalatkan seperti didakwa.

“Kami berjuang untuk membela nasib mahasiswa dan mengubah kesukaran yang sering dihadapi akibat birokrasi, bukan alat parti yang berdiri atas kapasiti diri sendiri.

“Adakah salah jika kami ingin menyuarakan pendapat dan memperjuangkan nasib rakan lain yang tertindas?

“Tindakan seperti itu terpaksa diambil kerana kami sudah muak dengan apa yang dijanjikan namun tidak dilaksanakan dengan telus,” katanya.

Mengenai pandangan masyarakat mengatakan mereka mudah diperalat, beliau menafikannya kerana mahasiswa mempunyai privasi sendiri untuk membuat pilihan.

“Mereka mengiktiraf kami sebagai golongan terpelajar, jadi mengapa mesti mempertikaikan tindakan itu?

“Mengapa dipandang serong hanya kerana mahu memberi teguran dan memperbetulkan keadaan salah?,” katanya

Katanya, sebagai mahasiswa, mereka tahu tanggungjawab utama ialah belajar tapi pada masa sama menjadi pengimbang tara kepada semua pihak selain ejen perubahan kepada masyarakat.

“Kami tidak kesal memperjuangkan tuntutan ini kerana idealisme kami hanyalah untuk membantu mahasiswa bukan menjadi tunggangan orang lain seperti tanggapan masyarakat. Betulkan persepsi salah itu,” katanya.

myMetro

1 comment:

  1. mhasiswa sprti nilah yg kite mahu untuk mnjadi pmimpin mse hdpan, brani brjuang mngakkan kbenaran wlaupun pahit.. ^_^

    ReplyDelete